KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara memperagakan aksi terbaik mereka di Terbuka Jepun apabila tujuh beregu melangkah ke suku akhir Kejohanan Jelajah Dunia Super 750 tersebut.
Beregu lelaki paling menyerlah pada kejohanan itu apabila empat gandingan negara tampil garang dengan menewaskan lawan masing-masing.
Pilihan utama kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menepati ramalan apabila mudah menewaskan wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-19, 21-18 dalam tempoh 38 minit.
Sze Fei-Izzuddin akan membuat perhitungan dengan jaguh Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri pada aksi suku akhir, esok.
Turut mara ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengatasi gandingan China, Huang Di-Liu Yang.
Namun juara Masters Malaysia itu tidak diberikan laluan mudah apabila terpaksa beraksi bermati-matian untuk melakar kemenangan 21-19, 14-21, 22-20 pada aksi berlangsung selama satu jam enam minit itu.
Pada aksi suku akhir esok, Wei Chong-Kai Wun akan bertemu pilihan ketiga kejohanan, Kim Won Ho-Seong Seung Jae.
Gandingan berpengalaman, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan ke atas pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 19-21, 21-14, 21-19 dalam masa 55 minit.
Mereka berdua perlu bersiap sedia apabila akan berdepan pilihan kelima dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Satu lagi kejutan manis hadir menerusi Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang berjaya menundukkan beregu pilihan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 15-21, 21-19 dalam perlawanan sengit selama sejam tiga minit.
Mereka berdua akan berdepan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han.
Turut tidak ketinggalan apabila dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melangkah ke suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menundukkan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 17-21, 21-16, 21-12 dalam tempoh 58 minit.
Kejayaan itu menyaksikan gandingan negara itu bakal berdepan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara pada aksi suku akhir esok.
Sementara itu, beregu profesional, Soon Huat-Shevon mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia dengan keputusan 21-14, 21-17 dalam masa 31 minit.
Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan dengan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang mengalahkan satu lagi gandingan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-9, 21-6. -KOSMO! ONLINE