PETALING JAYA – Pelaburan Sime Darby Property Berhad dalam inisiatif kemampanan diiktiraf dengan empat kemenangan utama daripada dua anugerah industri, membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan kecemerlangan biodiversiti.
Pada malam anugerah The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards 2025, Kumpulan diberikan penghormatan tertinggi dengan memperoleh The Edge Malaysia’s Responsible Developer: Building Sustainable Development Award 2025.
Bandar Bukit Raja Wetland Townpark, yang terletak di Bandar Bukit Raja pula menerima dua penghormatan berprestij, iaitu Editor’s Choice Award for Excellence in Green Blue Infrastructure dan Gold for The Edge Malaysia – ILAM (Institute of Landscape Architects Malaysia) Sustainable Landscape Awards (Landscape Planning).
Menjadi penanda aras untuk reka bentuk landskap yang disesuaikan dengan iklim, taman berkenaan menunjukkan komitmen Sime Darby Property bagi penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan mampan, serta perancangan landskap yang mengutamakan kesihatan ekologi dan kesejahteraan komuniti.
Selain itu, Pusat Pengetahuan Hutan Hujan Elmina (ERKC) Kumpulan telah diiktiraf dengan anugerah Perak dalam kategori Pemuliharaan Biodiversiti (Syarikat Besar) di The Star ESG Positive Impact Awards 2025.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen strategik Kumpulan untuk pembangunan sedia masa hadapan, di mana kemampanan menjadi panduan asas.
“Kemenangan ini mengesahkan bahawa kemampanan bukan sekadar soal pemikiran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada cara kami membentuk lokasi untuk hari esok.
“Sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab untuk memimpin melalui teladan dengan reka bentuk persekitaran bandar yang memupuk daya tahan komuniti serta menyokong keharmonian manusia dan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE