PETALING JAYA – “Saya bukan provokator dan bukan juga individu yang menyebarkan video tersebut. Saya hanya pertahankan diri.”
Itu penjelasan seorang lelaki dikenali sebagai Tony Lim berhubung insiden pergaduhan melibatkan seorang pengawal keselamatan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menerusi satu pendedahan yang dibuat kepada penyanyi dan pempengaruh Caprice di aplikasi Instagram, Tony yang juga jurulatih seni bina diri campuran (MMA) berkata, insiden berlaku di kawasan kondominium tempat dia tinggal.
Menurutnya, kejadian tercetus apabila dia turun ke kawasan kediaman pada malam Khamis lalu dan terserempak dengan pengawal keselamatan terbabit yang ditemani dua individu dipercayai majikannya.
“Dia menunjuk ke arah saya. Seorang wanita dan seorang lelaki bersamanya. Saya rasa mereka majikannya.
“Dia tanya saya, ‘Adakah kamu yang tularkan video itu? Adakah kamu yang tinggalkan komen pada video itu?’,” katanya.
Tony bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
“Saya ingin gunakan platform ini untuk jelaskan perkara sebenar. Bukan saya yang tularkan video itu,” tegasnya.

Tambah Tony, dia kebetulan berada di lokasi kejadian semasa pertengkaran pertama berlaku antara pengawal keselamatan dan seorang penduduk warga emas pada sebelah pagi.
Insiden tersebut ujarnya, kemudian berlanjutan hingga ke malam.
“Saya hanya mahu mempertahankan diri selepas diprovokasi. Saya tidak memulakan apa-apa. Saya mahu bersihkan nama saya,” jelasnya.
Tony memaklumkan, difahamkan pengawal keselamatan terbabit sudah diberhentikan kerja.
Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook satu rakaman video memperlihatkan pergaduhan melibatkan dua lelaki menyebabkan salah seorang daripada mereka tumbang.
Semalam, Kosmo! melaporkan, insiden pergaduhan antara dua lelaki yang tular di media sosial telah diselesaikan secara baik selepas kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, laporan dibuat oleh kedua-dua individu terlibat pada 10 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE