SEREMBAN – Rundingan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia berhubung pengenaan tarif timbal balas baharu yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump akan melihat skop yang lebih meluas termasuk kedaulatan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan berkenaan masih lagi belum tamat dan Malaysia berusaha memberikan fakta-fakta dengan mengetengahkan kepentingan hubungan dua hala negara.
“Rundingan akan melihat skop yang lebih meluas, bukan sahaja perdagangan tetapi kedualatan negara dan juga yang lain-lain. Kita (Malaysia-AS) mahu supaya kepentingan bersama ini, kepentingan yang sihat ini supaya terus dapat kita pelihara dengan baik.
“Kita tidak mahu nanti disebabkan oleh rundingan dua hala berkenaan tarif ini, ia akan merosakkan hubungan dua hala. Malaysia merupakan rakan strategik kepada Amerika Syarikat dan juga rakan strategik kepada semua negara di seluruh dunia.
“Kita mengamalkan dasar berkecuali dan kita di Asia Tenggara ataupun di ASEAN ini, kita mempunyai dasar keterangkuman bersama. Jadi, sebarang usaha untuk memecahbelahkan kami itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Penerima Sumbangan (Bantuan Am, Pelajaran, Masjid, Surau dan badan bukan Kerajaan (NGO ) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, hari ini.
AS baru-baru ini mengumumkan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor. – KOSMO! ONLINE