KUALA LUMPUR – Seorang penuntut lelaki warga Myanmar yang hilang di sebuah universiti swasta di Cheras sejak 9 Julai lalu terjawab apabila disahkan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 26 sebuah kondominium di Taman Connaught, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 pagi.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pihak kami mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium berkenaan.
“Laporan bedah siasat yang dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz mengesahkan punca kematian pemuda itu akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ridzuan, bapanya yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai peniaga di Myanmar hadir ke hospital semalam. Pengecaman mayat lelaki itu dibuat berdasarkan tanda lahir di pinggang kiri.
Difahamkan, mayat mangsa dikenali sebagai Sithu Hpone Maw, 20, akan dibawa pulang ke negaranya pada 22 Julai ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut sebuah universiti swasta gagal dikesan sejak 9 Julai lalu.
Laporan kehilangan Hpone Maw dibuat oleh wakil pengurusan universiti berkenaan pada pukul 9.05 malam, Isnin lalu selepas mangsa gagal dihubungi. – KOSMO! ONLINE