KUALA LUMPUR – Penduduk dan peniaga di Desa Pandan meluahkan rasa kecewa tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan notis pengosongan dan perobohan sembilan premis perniagaan tanpa sebarang rundingan atau pampasan sewajarnya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Anggerik E2, Shaaripuddin Yup Kamaruddin, 76, berkata mereka menerima dua notis berasingan daripada dua jabatan DBKL dengan tarikh pelaksanaan yang berbeza.
“Kami diminta mengosongkan kawasan niaga ini walaupun ada lesen sah, malah sebahagian peniaga sudah berniaga di sini sejak sekian lama.
“Tiba-tiba keluar notis perobohan tanpa sebarang perbincangan. Kami ingin tahu, di mana keadilannya?” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Peniaga tempatan, Mohd. Reduan Mohd. Raphi, 40, berkata mereka yang berniaga di kawasan itu rata-ratanya adalah penduduk tempatan dan telah menjalankan perniagaan sejak lebih 10 hingga 20 tahun lalu dengan lesen sah yang dikeluarkan oleh DBKL.
“Kami bukan berniaga secara haram. Lesen kami diperbaharui setiap tahun, tapi pada Disember 2024 tiba-tiba dibatalkan tanpa sebarang notis. Bila cuba diperbaharui pada Januari, kami dapati sistem sudah menyekat permohonan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kejanggalan dua notis berbeza dikeluarkan oleh dua jabatan berlainan iaitu satu oleh bahagian pelesenan bertarikh 17 Julai, dan satu lagi oleh penguat kuasa bertarikh 15 Julai yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peniaga.
“Kami kelam-kabut. Ada yang terpaksa tutup kedai serta-merta. Tiada sebarang mesyuarat rasmi. Jemputan pun dihantar melalui WhatsApp pada jam 1.30 pagi untuk mesyuarat pukul 9 pagi,” ujarnya.
Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa tindakan pelebaran jalan oleh pihak berkuasa akan memberi kesan serius kepada keselamatan pelajar sekolah agama berdekatan kerana laluan utama itu sering dilalui kanak-kanak untuk ke sekolah.
“Bila jalan dibuka untuk kenderaan berat, risikonya besar. Sudah beberapa kali berlaku kemalangan maut di laluan itu, termasuk seorang wanita yang meninggal dunia dua hari selepas notis roboh dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya lagi, lebih 1,000 penduduk di kawasan itu bergantung kepada perniagaan makanan dan minuman yang dijalankan secara sepenuh masa.
Mereka buntu memikirkan nasib anak-anak dan komitmen bulanan jika premis diroboh tanpa sebarang penempatan semula atau pampas
an.
“Pendapatan kasar pun tak menentu, sekitar RM4,000 ke RM5,000 sebulan. Itu pun selepas tolak kos sewa, elektrik, modal, belum masuk belanja anak-anak sekolah. Kalau kedai diroboh, esok nak makan apa?” katanya.
Penduduk turut berharap agar Ahli Parlimen dan Menteri Wilayah dapat campur tangan serta mencari penyelesaian yang adil tanpa mengetepikan suara penduduk.
“Kami bukan membantah pembangunan, tapi biarlah ikut saluran, ada perbincangan. Ini tidak, terus keluarkan notis roboh. Rakyat rasa ditekan,” katanya
Difahamkan, tindakan DBKL itu adalah sebahagian daripada projek pelebaran jalan utama di kawasan tersebut yang telah dibangkitkan sejak 2023 namun sehingga kini tidak menunjukkan sebarang pelan penempatan semula bagi peniaga terlibat. – KOSMO! ONLINE