DAMSYIK – Seorang pembaca berita yang bersiaran langsung di sebuah stesen televisyen di Damsyik, Syria melompat bangun dari tempat duduknya dalam keadaan terbongkok-bongkok akibat terkejut, lapor portal berita India Today semalam.
Wanita itu bertindak sedemikian untuk mencari perlindungan selepas berlakunya letupan besar di belakang studio ketika tentera Israel mengebom ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria.
Klip video itu dikongsi oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz di platform X yang menunjukkan wanita tersebut membaca berita mengenai serangan terbaharu oleh negara haram tersebut ke atas Syria.
Satu letupan besar kedengaran dengan kepulan asap yang besar dan bola api gergasi kelihatan di belakang bangunan di mana studio itu terletak.
“Serangan yang menyakitkan telah bermula,” tulis Katz sambil berkongsi klip video itu.
Pembaca berita itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Israel berkata, ia menyerang kawasan berhampiran pintu masuk ke Kementerian Pertahanan Syria di Damsyik.
Tentera Rejim Zionis juga mengesahkan bahawa salah satu sasaran utama adalah pintu masuk ke ibu pejabat tentera rejim Syria.
Israel juga melancarkan serangan udara berhampiran istana presiden.
Tindakan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan oleh tentera Syria ke atas minoriti Druze di wilayah Sweida, selatan Syria yang bersempadan dengan Bukit Golan, Israel. – AGENSI