KOTA BHARU – Reman seorang pemandu e-hailing bersama isterinya yang ditahan selepas dipercayai terlibat kegiatan mengedar dadah jenis ganja dan pil kuda bernilai RM3.1 juta di Kuala Krai dekat sini pada minggu lalu disambung tujuh hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, perintah lanjutan reman yang bermula hari ini sehingga Rabu depan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, lelaki dan isterinya yang merupakan peniaga ayam dijangka dituduh di mahkamah pada 21 Julai ini sekiranya siasatan kes tersebut lengkap.
“Kita masih belum menjumpai sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan pasangan suami isteri itu dengan sindiket dadah lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, taktik sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah bernilai RM3.1 juta yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu e-hailing dan peniaga ayam terbongkar selepas mereka ditahan di jalan Pauh Sembilan, Kuala Krai dekat sini pada 11 Julai lalu.
Mohd. Yusoff dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berusia 31 dan 49 tahun itu dicekup oleh anggota kereta peronda polis (MPV) kira-kira pukul 4 pagi selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan. – KOSMO! ONLINE