KUALA LANGAT- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang mengkaji keperluan untuk menjenamakan semula projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada RMR 2.0 bagi menyelesaikan masalah lambakan permohonan sedia ada.
Menurut Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, inisiatif tersebut akan memberi peluang kepada pemohon untuk membeli kediaman bernilai RM55,000 secara tunai, berbanding ansuran bulanan RM300 selama 16 tahun menggunakan konsep tanpa faedah.
“Saya difahamkan permohonan sangat banyak sehingga mencecah 3,000 ke 5,000 permohonan yang layak setiap tahun, jadi KPKT akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukan bagi menampung senarai menunggu yang semakin bertambah.
“Jadi sekiranya ada pemohon yang mampu untuk membeli secara tunai, kerajaan hanya perlu membayar subsidi berjumlah RM20,000 berbanding peruntukan penuh RM75,000 bagi setiap rumah dan ia akan mempercepatkan proses pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Taklimat & Penyerahan Kunci RMR Kepada 10 Penerima di Kampung Sungai Kelambu, di sini semalam.
Katanya, setakat ini sebanyak 771 unit RMR sedang giat disiapkan di seluruh negara sekali gus mencapai separuh daripada 5,000 unit yang disasarkan SPNB sepanjang tahun 2025, tidak termasuk 13,000 permohonan layak dan sedang menunggu.
Mengulas lanjut mengenai kos harga barang binaan, Aiman Athirah memaklumkan kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga kediaman RMR kerana SPNB mempunyai pelbagai mekanisme termasuk sistem binaan berindustri (IBS) untuk menampung kos terbabit.
“Itulah kebijaksanaan SPNB menghadapi isu kos bahan binaan tanpa perlu menaikkan harga kediaman RMR dan dalam masa sama mampu meningkatkan lagi kualiti binaan serta reka bentuk yang lebih menarik berbanding sebelum ini,” katanya.
Sementara itu seorang penerima RMR, Norshazwani Roszainal, 24 menzahirkan rasa gembira kerana memiliki rumah sendiri pada usia muda.
Guru tadika itu berkata, dia dan suami, Mohd. Syabil Ashraf Abdul Rahim, 25 telah membuat permohonan lebih setahun yang lalu.
“Tak sangka keluarga saya sudah mempunyai rumah sendiri. Lebih menggembirakan, rumah saya dikelilingi rumah saudara-mara,” katanya.
Seorang lagi penerima, Norafizi Norhisham, 27 berkata, RMR menjadikan impiannya untuk mendapat rumah sendiri sebelum umur 30 tahun menjadi kenyataan. – KOSMO! ONLINE