fbpx

Netanyahu hadir ke mahkamah, sambung bicara kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail Benjamin Netanyahu. - Foto AFP

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dihadapkan di Mahkamah Daerah Tel Aviv semalam untuk meneruskan keterangan dalam perbicaraan kes rasuahnya, lapor agensi berita Anadolu.

Sesi perbicaraan itu turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee.

“Adalah menarik untuk menyaksikan perkara ini. Presiden (AS), (Donald) Trump telah menjelaskan pendiriannya.

“Beliau menganggap Netanyahu sebagai rakan. Ia adalah luar biasa kerana perdana menteri dibicarakan semasa perang dan ketika rundingan mengenai tebusan (Hamas),” katanya.

Pada Januari lalu, Netanyahu memulakan sesi soal siasat berkaitan pertuduhan dalam kes dinamakan sebagai 1000, 2000 dan 4000, yang kesemuanya dinafikannya.

Kes 1000 melibatkan Netanyahu dan keluarganya. Dia didakwa menerima hadiah mahal daripada ahli perniagaan kaya sebagai pertukaran untuk mendapatkan bantuan.

Kes 2000 pula melibatkan dakwaan rundingan dengan Arnon Mozes yang merupakan penerbit akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth. Ia adalah untuk mendapatkan liputan media yang positif.

Kes 4000 yang dianggap paling serius, melibatkan penyediaan kemudahan kepada Shaul Elovitch. Dia merupakan bekas pemilik laman berita Walla dan sebuah syarikat telekomunikasi, Bezeq, sebagai balasan untuk liputan media yang menggalakkan.

Netanyahu, yang perbicaraannya bermula pada 24 Mei 2020, ialah pemimpin Israel pertama dibicarakan dalam sejarah negara haram itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI