NAPLES – Harapan penyerang Liverpool, Darwin Nunez untuk berhijrah ke Napoli pada jendela perpindahan musim panas ini akhirnya berkubur selepas kelab Serie A itu menarik diri daripada rundingan.
Difahamkan, Napoli memaklumkan kepada Liverpool bahawa mereka tidak akan meneruskan perjanjian kerana bayaran perpindahan dianggap terlalu tinggi, walaupun pemain antarabangsa Uruguay itu telah diberikan lampu hijau untuk berpindah ke Naples.
Pemain berusia 26 tahun itu yang menyertai Liverpool dari Benfica pada musim panas 2022, bergelut untuk memberikan impak konsisten di Anfield dan hanya meledak tujuh gol musim lalu ketika The Reds menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keadaan menjadi lebih mencabar buat Nunez apabila pengurus Liverpool, Arne Slot dilapor kurang memberikan minit permainan kepada penyerang itu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.
Menurut pakar perpindahan terkenal, Fabrizio Romano, Napoli kini memilih untuk menandatangani penyerang Udinese, Lorenzo Lucca sebagai alternatif kepada Nunez.
“Napoli telah memaklumkan kepada Liverpool bahawa perjanjian Darwin Nunez boleh dianggap batal. Napoli akan menandatangani Lucca sebagai penyerang baharu. Walaupun Nunez berminat dengan perpindahan itu, bayarannya dianggap terlalu tinggi,” katanya.
Walaupun perpindahan ke Napoli gagal, Liverpool masih berpeluang untuk menjual khidmat Nunez apabila beberapa kelab termasuk AC Milan dan gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal dilapor berminat mendapatkan khidmatnya. – AGENSI