PETALING JAYA – Selebriti sensasi, Bella Astillah tidak tahu-menahu tentang hantaran dibuat bekas ibu mentuanya, Siti Hafiza Basharahil sempena ucapan hari lahir buat anak-anaknya.
Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Astillah, 31, dia hanya mengetahui tentang perkara tersebut selepas ramai yang menperkatakan tentangnya.
“Saya tak perasan hantaran itu, tapi nampaklah ada orang bercakap-cakap. Saya hanya minta doakan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya ketika ditemui di majlis pembukaan butik jam Solar Time di IOI Mall, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan dia tidak membenarkan anak-anaknya bertemu keluarga bekas suaminya, Bella lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut.
“Mungkin mereka ada berkomunikasi dengan mama (ibu Bella). Cuma saya tidak berkesempatan untuk tanya mama. Kalau saya cakap iya pun takut salah, kalau cakap tak pun takut salah juga.
“Saya tak berani nak komen tentang perkara itu. Saya hanya minta peminat yang ambil berat tentang anak-anak saya, doakan yang terbaik untuk keluarga saya,” ujarnya.
Terdahulu, Siti Hafiza membuat ucapan yang meraih perhatian ramai sempena hari lahir cucunya, Ayden Andrean dan Ara Adreana.
Antara ucapan tersebut adalah mendoakan agar kedua cucunya membesar dengan sihat, bahagia dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Luahnya biarpun jarak memisahkan mereka namun kasih sayangnya tetap utuh sampai bila-bila.
Untuk rekod, Bella mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz pada 9 September 2016. Namun bercerai pada 13 Jun 2024. – KOSMO! ONLINE