PANTAI Timur Malaysia sememangnya terkenal dengan terumbu karang serta perikanan yang menjadi sumber kehidupan biodiversiti laut dan punca rezeki komuniti nelayan tempatan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan sisa plastik telah memberi tekanan besar kepada ekosistem yang rapuh ini.
Daripada pembungkusan terbuang sehinggalah pukat hantu yang ditinggalkan di laut, sampah marin semakin mengancam kawasan tangkapan tradisional yang menjadi warisan turun-temurun.
Lebih membimbangkan, Malaysia kini tersenarai dalam 10 negara teratas bagi pengambilan mikroplastik di dunia.
Kajian pada tahun 2024 yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science and Technology menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengambil purata 502.3 miligram mikroplastik setiap hari, dengan lebih separuh daripadanya berpunca daripada makanan laut.
Bagi komuniti nelayan, isu ini bukan sekadar berkaitan alam sekitar, ia menyentuh soal kelangsungan hidup jangka panjang.

Dalam menghadapi cabaran ini, Nestle Malaysia baru-baru ini membawa inisiatif tahunan Pembersihan Pantai dan Bawah Laut ke Terengganu dengan misi yang diperbaharui.
Buat julung kalinya, program ini melibatkan bukan sahaja sukarelawan kakitangan daripada program Nestle Sayang Komuniti, tetapi juga penyelidik marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan penduduk dari komuniti nelayan Pantai Tok Jembal.
Lebih 350 sukarelawan terlibat dalam pelbagai aktiviti di dua lokasi utama.
Inisiatif ini menyaksikan sukarelawan bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membersihkan sisa plastik di kawasan pesisir, menanggalkan teritip dari bot nelayan, membaiki pondok nelayan dan mengagihkan bantuan asas kepada penduduk.

Sementara itu, di Pulau Bidong, sukarelawan Nestle bersama Ocean Heroes UMT dengan sokongan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melaksanakan kerja-kerja pembersihan bawah laut yang menumpukan kepada pukat hantu, iaitu antara ancaman utama kepada terumbu karang dan hidupan marin.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols, berkata, di Nestle, pendekatan Menjana Nilai Bersama mendorong pihaknya untuk menjana manfaat berkekalan demi penduduk sejagat dan bumi.
“Cita-cita kami untuk mencapai keneutralan plastik mendorong kami untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan bagi menyingkirkan sisa plastik daripada alam sekitar dan menerapkan amalan lestari di seluruh rantaian nilai kami.
“Kerjasama ini di Terengganu bersama rakan-rakan dan komuniti Pantai Tok Jembal mencerminkan komitmen mendalam kami untuk melindungi ekosistem semula jadi, sambil menyokong golongan yang mencari rezeki dalam ekosistem tersebut.

“Memandangkan mikroplastik kini semakin mengancam sistem makanan kita, inisiatif seperti ini bukan sahaja penting bagi kesihatan alam sekitar tetapi juga mengukuhkan keterjaminan dan keselamatan makanan serta kemampanan jangka panjang komuniti penduduk tepi pantai kita,” katanya.
Sementara itu, wakil dari Kumpulan Penyelidik Microplastics Research Interest Group (MRIGUMT), Prof. Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim berkata, pembuangan pukat hantu di lokasi sepatutnya amat penting kerana ia akan terurai menjadi mikroplastik yang memberi kesan buruk kepada terumbu karang, hidupan laut dan akhirnya kesihatan manusia melalui rantaian makanan.
Terangnya, ketika kebanyakan aktiviti pembersihan hanya tertumpu di kawasan pantai, kerjasama bersama Nestle ini telah menetapkan satu penanda aras baharu dengan turut memberi tumpuan kepada pencemaran di bawah laut.
“Melalui audit sisa, kami dapat mengumpul data penting untuk mengenal pasti punca pencemaran dan memahami bagaimana pengurusan plastik yang tidak teratur, walaupun berskala kecil, boleh memberi kesan yang lebih besar.

“Inisiatif ini juga menghubungkan penyelidikan akademik dengan impak dunia sebenar, serta membuktikan bahawa kerjasama antara industri dan akademia mampu mencetuskan perubahan jangka panjang dalam penjagaan alam sekitar,” jelasnya.
Seorang nelayan dari komuniti Tok Jembal, Rahmat Zamri berkongsi bahawa, pencemaran plastik dan pukat hantu sememangnya memberi kesan besar kepada aktiviti menangkap ikan, mengakibatkan hasil tangkapan semakin berkurang.
“Keadaan pantai juga tidak seperti sebelum ini, dahulu memang bersih.

“Kami mengalu-alukan kehadiran pelawat dan perniagaan tempatan, tetapi sampah yang ditinggalkan semakin membimbangkan.
“Kami cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kebersihan kawasan ini, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.
“Sebab itulah saya sangat menghargai program pembersihan ini, ia membantu menjaga alam sekitar dan juga sumber rezeki kami.
“Apabila syarikat besar seperti Nestle turun padang dan bekerjasama dengan kami, saya harap ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk berubah dan lebih menghormati lautan,” katanya.
Ketika pencemaran plastik terus mengancam kesihatan lautan dan kesejahteraan manusia, inisiatif Nestle Malaysia menyerlahkan bahawa perubahan sebenar memerlukan komitmen bersama.

Daripada menanggalkan pukat hantu, membersihkan sisa plastik hinggalah meningkatkan kesedaran awam, setiap usaha membawa rakyat Malaysia lebih hampir kepada masa depan yang lestari dan selamat.
Meskipun Terengganu menjadi fokus utama tahun ini, usaha seumpamanya turut dijalankan di Selangor, Perak dan Sabah oleh Nestle, melibatkan lebih 500 sukarelawan dari seluruh negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, inisiatif tahunan ini telah berjaya mengumpulkan hampir 17 tan sisa marin dari perairan Malaysia.
Bagi tahun ini sahaja, kira-kira 2 tan telah dikumpulkan, satu pencapaian yang jelas menunjukkan hasil positif apabila syarikat dan komuniti bekerjasama. – KOSMO! ONLINE