Mendidik anak biarlah ketika masih kecil. Ini kerana, apabila mereka semakin membesar, semakin sukarlah untuk dibentuk. Menanam minat atau hobi kepada mereka juga ada caranya. Jika kita tidak sabar melayan kerenah anak-anak, kerap ditegur dengan nada tinggi, anak akan cepat hilang minat.
Pendek kata, menggalas tugas sebagai ibu bapa bukanlah satu perkara yang mudah kerana besar cabarannya.
Kita tidak boleh meletak harapan yang terlalu tinggi apabila mendidik anak-anak.
Sentiasa fokus kepada usaha mereka, bukan keputusan. Jika kita tumpukan 100 peratus kepada keputusan, kelak kita pula akan tertekan, dan akan marah atas kesilapan mereka yang tidak sengaja.
Saya bekerja sepenuh masa dalam bidang memancing.
Malah, sebelum berkahwin lagi, saya sudah menceburi bidang ini sebagai penulis majalah, penguji lapangan produk memancing dan apa sahaja yang berkaitan dengan industri memancing.
Selepas berkahwin dan dikurniakan satu-satunya anak lelaki, Jay Raiyan, saya kerap membawa keluarga bersama memancing.
Selalunya, saya keluar memancing berhari-hari. Apabila membawa seisi keluarga, saya tidak perlu risau akan keadaan mereka di rumah.
Memupuk minat anak
Apa yang kita inginkan tidak selalunya datang dengan sengaja terutamanya ketika memupuk minat anak-anak.
Dari kecil, anak saya sudah biasa melihat bapanya bekerja sebagai pemancing.
Apabila Raiyan sudah besar sedikit iaitu dalam lingkungan umur lima hingga enam tahun barulah saya membenarkan dia memegang joran.
Pada awalnya, saya yang melontar umpan atau gewang, kemudian Raiyan melakukan karauan.
Budak-budak sememangnya akan cepat bosan jika mereka tidak dapat ikan, sebelum beralih melakukan perkara lain.
Apabila terbitnya tumpuan, barulah anak diajar cara melontar umpan atau gewang. Perlu banyak bersabar dan lihat anak itu berusaha memperbetulkan kesilapannya.
Apabila sudah tahu mereka minat, kerja kita akan menjadi semakin mudah.
Langkah seterusnya adalah menerbitkan perasaan teruja.
Ini saya lakukan dengan menghulur joran supaya dia melawan ikan sebaik sahaja saya menyembat.

Lumrahnya memang mereka akan pusing kekili tanpa henti sehingga ikan sampai ke tebing. Dalam masa sama, kita harus beri mereka tunjuk ajar yang sepatutnya.
Pam pusing, pam pusing, namun selepas diberi teguran mereka masih lakukan perkara yang sama, tugas kita bukannya marah, sebaliknya tunjuk cara yang betul.
Kemudian bagi balik joran pada mereka sebelum ikan didaratkan.
Apabila sudah agak pandai berlawan dengan ikan, barulah kita terbitkan rasa bertanggungjawab dengan menghadiahkan mereka peralatan memancing sendiri.
Pada permulaan, biar kita lakukan segalanya dengan menyiapkan set pancing seperti ikat tali perambut, tukar gewang dan sebagainya.
Apabila sudah timbul minat yang mendalam, anak-anak akan belajar semuanya dengan sendiri.
Selepas itu barulah kita ajar langkah-langkah keselamatan seperti waspada dengan persekitaran dan segala peralatan tajam. Misalnya, mata kail, pisau serta ikan berbisa dan bergigi tajam.
Seperkara lagi, jangan sesekali menegur anak di hadapan orang lain, mereka ini ada sifat malu dan sedih walaupun di hadapan adik-beradik lain.
Mereka akan mula hilang minat jika diperlakukan demikian.
Remaja
Terkini, anak saya sudah meningkat remaja, dia sekarang berusia 14 tahun dan berada di tingkatan dua.
Minat memancingnya tidak pernah pudar sejak umur lima tahun dan sehingga kini masih giat mengikuti saya ke mana sahaja.
Baik ke kolam berbayar, sungai, lombong, tasik dan laut sekalipun terutamanya ketika cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.
Gaya pancingan yang paling diminati Raiyan adalah casting dan jigging. Antara spesies ikan kegemarannya adalah sebarau dan peacock bass.
Kini, dia mampu melakukan pelbagai gaya pancingan tanpa bantuan saya. Bagaimanapun, sebagai seorang ayah, saya tetap memantau segala yang dilakukannya, demi keselamatan.
Paling utama, saya akan memastikan pelajarannya di sekolah dan masa memancing seimbang.
Mendidik anak ibarat mencorak warna di atas kain putih, bagaimana corak yang dipilih, itulah yang akan terjadi.















