GOMBAK – Seorang lelaki warga emas cedera selepas lori 10 tan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Sungai Tua, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.51 petang itu, mangsa berusia 67 tahun yang memandu lori sarat muatan kayu dilaporkan mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan kayu terbabas ke dalam gaung berkedalaman 10 meter.
“Terdapat seorang lelaki mengalami kecederaan patah tangan kiri,” katanya dalam kenyataan,top hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE