SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Pakistan yang sebelum ini disiasat kerana mencabul dan meliwat empat kanak-kanak dan remaja akan didakwa di Mahkamah Majistret, esok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 25 tahun itu yang juga penganggur berdepan dengan empat pertuduhan.
“Ini melibatkan tiga kes liwat dan satu cabul. Lelaki Pakistan itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam kira-kira pukul 8.30 pagi,” katanya, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, suspek berjaya ditahan di Kuala Nerang, Kedah pada 8 Julai lalu ketika dia dikatakan cuba melarikan diri ke negara jiran.
Suspek yang memasuki negara ini sejak enam bulan lalu telah melakukan empat siri cabul dan liwat melibatkan kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 9, 13, 14 dan 19 tahun berkenaan sejak April lalu.
Antara modus operandi suspek adalah mengekori dan meminta mangsa mengambil barang di suatu lokasi sebelum dipeluk dari belakang dan dicekik jika melawan.
Kesnya disiasat mengikut Seksyen Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE