JELEBU – Gara-gara mahu menakutkan pencuri, seorang warga emas maut disyaki tertembak diri sendiri dalam kejadian di kebun durian miliknya di Kuala Klawang, di sini, petang semalam.
Sumber berkata, mangsa yang berusia lewat 60-an dipercayai pergi ke kebunnya pada pukul 5 petang, namun tidak pulang ke rumah hingga 9 malam.
“Biasanya pada pukul 7 malam, mangsa akan pulang ke rumah, tetapi pada hari kejadian isterinya mula curiga apabila lelaki tersebut tiada (di rumah) pada pukul 9 malam.
“Dia (isteri) memaklumkan perkara itu kepada adik iparnya yang kemudian pergi ke kebun bagi mencari warga emas tersebut. Mangsa ditemukan terbaring tidak bernyawa atas tanah dengan kesan tembak pada bahagian dada,” katanya hari ini.
Menurut sumber itu, adik mangsa membuat laporan polis berhubung kematian tersebut. Mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Superitendan Azizan Said berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE