KUALA LUMPUR – Gagal memainkan peranan sebagai suami dan bapa menyebabkan ramai wanita terpaksa mencari ketenangan menerusi kumpulan tertentu termasuk yang membawa ajaran songsang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu seperti program e-Hati yang tular baru-baru ini membuktikan kegagalan lelaki memberikan kasih sayang serta ketenangan kepada isteri dan anak-anak sehingga mendorong mereka mencari ‘penawar’ di luar.
Menurutnya, lelaki sepatutnya sedar bahawa memberikan kasih sayang merupakan sebahagian tanggungjawab kepimpinan sebagai suami dan bapa dalam sesebuah keluarga.
“Bila tidak dapat kasih sayang daripada suami, tidak dapat daripada bapa, mereka mencari-cari ketenangan. Kalau mereka jumpa kumpulan yang betul, yang bawa ke jalan syariat, alhamdulillah.
“Tetapi ada juga yang bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang membawa fahaman yang bertentangan dengan prinsip syariat. Sebab itulah kita tekankan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pelindung keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Generasi Qawwam ‘Anak Muda Hero Keluarga’ di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, tanggungjawab membentuk lelaki menjadi pemimpin yang bertanggungjawab perlu bermula sejak mereka muda lagi.
Katanya, sebab itulah pelbagai program dianjurkan termasuk kerjasama bersama Ikram dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melengkapkan mahasiswa dengan ilmu kepimpinan kekeluargaan sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
“Kita tak nak nanti bila mereka dah kahwin baru nak belajar tentang tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Kita siapkan mereka daripada awal. Kita bagi mereka ilmu, kita bagi mereka alat bagaimana nak urus keluarga.
“Kalau mereka nampak contoh bapa yang tak jalankan tanggungjawab, contohnya mendera isteri, mereka tahu itu salah. Mereka perlu jadi lebih baik kerana kepimpinan itu bermula dari keluarga sebelum ke masyarakat dan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha berterusan membentuk generasi lelaki bertanggungjawab ini diharap dapat membantu kerajaan membina masyarakat madani yang mengutamakan nilai, akhlak dan kefahaman agama. – KOSMO! ONLINE