KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan aman dan damai, serta tidak wajar diganggu atau digugat oleh mana-mana pihak.
Beliau berkata, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada, mereka seharusnya menunggu sehingga pilihan raya akan datang.
“Kalau tak puas hati, tunggu next election (pilihan raya seterusnya) boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama peniaga dan penduduk berhubung isu cadangan perobohan beberapa unit gerai Blok E 16, Jalan 2/76 Desa Pandan di sini hari ini.
Mengulas desas-desus mengenai kemungkinan seorang pemimpin daripada UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau berkata sokongan UMNO ketika ini hanya berjumlah 26 kerusi Parlimen.
“Datuk Seri daripada UMNO. Bahagian macam mana? Sokongan UMNO ada 26 sahaja,” ujarnya.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan demi kestabilan politik negara. – KOSMO! ONLINE