KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan merakamkan penghargaan atas tindakan pantas polis yang menyerbu perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan lelaki songsang di sebuah rumah banglo di sini pada bulan lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam dan mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam.
“Amalan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial.
“Bumi Kelantan tidak akan dibiarkan menjadi tempat normalisasi maksiat yang jelas diharamkan oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, dalam usaha membendung kemungkaran, kerajaan negeri sudah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I)Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.
Katanya, meskipun enakmen itu pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan itu agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah SWT.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, lebih 20 lelaki yang menyertai pertemuan kumpulan songsang di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini terkejut selepas kediaman itu diserbu polis bulan lalu. – KOSMO! ONLINE