KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak spekulasi kononnya beliau dikaitkan bakal dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini berada dalam keadaan stabil dan tidak wajar diganggu.
Katanya, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi ruang untuk mentadbir negara dan sebarang ketidakpuasan hati sepatutnya disalurkan menerusi proses demokrasi yang sah.
“Kalau tak puas hati, tunggu next election (pilihan raya seterusnya) boleh. Kerajaan ini berjalan aman damai, jadi tak perlu diganggu atau digugat,” katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk dan peniaga berhubung isu perobohan beberapa unit gerai di Blok E 16, Jalan 2/76, Desa Pandan, di sini hari ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut menafikan dakwaan bahawa UMNO akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, memandangkan parti itu hanya mempunyai 26 kerusi di Parlimen ketika ini.
“Sokongan macam mana? UMNO ada 26 (Parlimen) sahaja,” katanya.
Nama Johari dikaitkan dalam kalangan pemerhati politik apabila disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi menerajui Putrajaya jika berlaku peralihan kuasa. – KOSMO! ONLINE