fbpx

Johari gesa DBKL tangguh projek jalan, bela nasib penjaja Desa Pandan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari ditemui pemberita di Blok E 16, Jalan 2/76 Desa Pandan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan sementara projek pembesaran jalan di kawasan Desa Pandan, di sini bagi mencari penyelesaian yang lebih adil kepada para penjaja yang terlibat.

Menurut beliau, sebanyak sembilan gerai yang telah beroperasi lebih 10 tahun di kawasan berkenaan bakal dirobohkan susulan pelaksanaan projek pembesaran jalan oleh DBKL.

Namun, Johari mempersoalkan rasional tindakan tersebut memandangkan jalan terlibat hanya merupakan ‘inner road’ dan bukan laluan utama.

“Saya turun padang dan berbincang dengan penduduk serta penjaja. Ramai tidak bersetuju kerana ini bukan jalan utama, hanya laluan kecil yang tidak wajar dijadikan jalan besar.

“Di hadapan jalan ini pula ada 60 lagi gerai yang tidak disentuh, jadi apakah logiknya melebarkan jalan di sini?” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama peniaga dan penduduk berhubung isu cadangan perobohan beberapa unit gerai Blok E 16, Jalan 2/76 Desa Pandan di sini hari ini.

Johari berkata, kontraktor bagi projek tersebut telah dilantik sebelum sebarang sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, termasuk dirinya selaku Ahli Parlimen.

“Saya tidak dimaklumkan secara rasmi. Mereka hanya datang dan terus hantar 56 anggota untuk kerja meroboh. Ini tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana peniaga dihalau tanpa notis munasabah. Lesen mereka juga tidak diperbaharui tanpa penjelasan kukuh,” tegasnya.

Beliau berkata, laluan berkenaan tidak sesuai untuk dilalui lori besar dan treler kerana struktur asasnya seperti longkang dan jambatan tidak dibina mengikut spesifikasi jalan utama.

“Saya ada bukti lori sangkut sewaktu cuba masuk ke jalan ini. Nasib baik tiada nyawa terkorban. Kalau betul mahu pembangunan, biarlah pembangunan itu membawa manfaat bersama.

“Jangan ulang kesilapan seperti di Sungai Baru di mana projek terbengkalai bertahun-tahun kerana gagal berunding dengan penduduk,” katanya.

Menurut Johari, beliau akan menghantar surat rasmi kepada DBKL dan berjumpa dengan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bagi memohon semakan semula projek tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan harus menunjukkan teladan dengan mengutamakan rundingan dan keadilan sosial, bukan hanya memajukan bandar tanpa mempertimbangkan nasib rakyat kecil.

“Saya sokong pembangunan, tapi jangan sampai menyusahkan rakyat. Kita perlu menang-menang. Bukan roboh kedai orang dan biarkan mereka hilang punca pendapatan tanpa penyelesaian,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak termasuk kontraktor dan agensi kerajaan agar tidak membuat keputusan secara sepihak tanpa rundingan lanjut, demi menjaga keharmonian dan kebajikan masyarakat bandar.

Semalam, Kosmo! melaporkan DBKL menegaskan segala proses pengosongan tapak dan merobohkan struktur di Desa Pandan, di sini, semalam, dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.

Operasi tersebut dijalankan susulan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan 2/76, Desa Pandan.

Menurut DBKL, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kelancaran aliran trafik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI