SEREMBAN – Seorang guru sekolah rendah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia sembilan tahun lalu.
Tertuduh Ariffin Mohd. Nor, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun enam bulan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 hingga 1.30 tengah hari di perpustakaan sebuah sekolah di Kuala Pilah pada 2 Januari 2024.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala tertuduh diwakili Peguam Ramzani Idris.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Kes disebut semula pada 18 Ogos. – KOSMO! ONLINE