REYKJAVIK – Sebuah kawasan pelancongan popular di Iceland terpaksa dikosongkan selepas letusan gunung berapi menggegarkan barat daya negara itu pagi semalam, lapor akhbar Metro UK.
Negara Atlantik Utara itu kini berada dalam situasi berjaga-jaga susulan letusan gunung berapi Sundhnukur di Semenanjung Reykjanes yang memuntahkan lahar dengan dahsyat.
Sejak Disember 2023, ia merupakan letusan kali kesembilan gunung berapi tersebut dan satu daripada 12 gegaran seismik yang menggoncang negara berkenaan sejak 2021.
Bagaimanapun, pakar-pakar meteorologi mengesahkan bahawa letusan gunung berapi itu hanya kecil dan tidak menjejaskan keselamatan bangunan.
Pelancong di pusat peranginan Blue Lagoon yang lazimnya menerima sekitar 3,500 orang setiap hari, diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Penduduk di bandar Vogar dan Reykjanesbaer pula dinasihatkan agar menutup tingkap susulan pergerakan awan gas beracun dari gunung berapi, lapor penyiar Iceland, RUV.
“Kualiti udara sedang dipantau dan ia telah mencapai ‘tahap tidak sihat’ di Njarovik kerana sulfur dioksida dilepaskan ke udara,” lapor RUV.
Siaran video secara langsung menunjukkan lahar dimuntahkan keluar dari celahan dalam tanah, manakala Pejabat Meteorologi Iceland mengatakan bahawa ia bermula sejurus sebelum pukul 4 pagi (waktu tempatan).
Agensi cuaca pada semalam melaporkan bahawa rekahan utama dianggarkan sepanjang 2.4 kilometer, manakala rekahan kedua yang lebih kecil iaitu kira-kira 500 meter panjang, telah terbuka berhampiran kawasan tersebut, lapor agensi berita AFP. – AGENSI