SHAH ALAM – Semua pihak diseru tidak membuat spekulasi dan tuduhan berkaitan pelantikan jawatan Ketua Hakim Negara dan hakim mahkamah atasan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 bertitah, baginda bersyukur mesyuarat itu berjalan dengan baik dan lancar semalam.
Titah baginda, agenda utama dibincangkan berkaitan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
“Dalam proses rundingan itu, beta menekankan keperluan mematuhi peruntukan undang-undang terutama Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan mengenai proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.
“Beta menyokong penuh kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara dan jawatan penting lain dalam badan kehakiman selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.
Sultan Sharafuddin bertitah, proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati.
“Ia demi memelihara kedaulatan undang-undang dan mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara.
“Sehubungan itu, semua pihak diseru mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa fakta lengkap serta sahih,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE