KULIM – Dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ayam di Jalan Paya Besar berhampiran Taman Kucai, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Penunggang motosikal yang berusia 17 merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar, sementara rakannya tidak bersekolah.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dua mangsa dalam perjalanan dari arah Taman Kucai menghala ke Taman Sawi.
Katanya, motosikal dinaiki mangsa dikatakan keluar dari simpang dan memasuki laluan utama dari arah bertentangan menyebabkan lori jenis Isuzu yang datang dari arah Alma menghala ke Baling tidak sempat mengelak.
“Lori muatan ayam itu kemudian melanggar motosikal berkenaan secara berhadapan. Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pemandu lori berusia 31 tahun dan kelindan lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala ujian saringan air kencing terhadap mereka didapati negatif. – KOSMO! ONLINE