PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu lain selepas ditegur kerana meletakkan kenderaan secara melulu mencuri perhatian orang ramai di media sosial.
Menerusi sebuah video tular, memaparkan lelaki berkenaan dilihat berang dan memarahi pemandu sebuah kenderaan yang berada di hadapan keretanya sambil menunjukkan isyarat lucah.
Difahamkan, lelaki itu meletakkan kenderaannya di laluan bertentangan hingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Namun, teguran yang diberikan tidak diterima dengan baik, malah lelaki terbabit bertindak agresif walaupun dia yang jelas melanggar peraturan.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan orang ramai menyelar tindakan lelaki berkenaan yang disifatkan tidak mempunyai toleransi dan tidak beradab dan mementingkan diri sendiri.
“Paling tidak suka orang yang parkir di tempat yang salah tapi buat macam dia betul, mana otak?” kata seorang pengguna.
“Kalau nak berhenti sekejap pun, bagilah ‘double signal’ angkat tangan tanda serba salah bukan angkat jari tengah,” komen Yusri Mohamad Kasim.
“Kita di Malaysia ni duduk (bersama) pelbagai kaum jika ada sifat toleransi semua akan selesai masalah,” ujar Helmi ST. -KOSMO! ONLINE