NEW JERSEY – Kejayaan Chelsea menjulang kejuaraan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 dianggap sebagai amaran awal kepada pasukan-pasukan pencabar menjelang saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain pertahanan Chelsea, Levi Colwill menganggap gelaran CWC 2025 yang diraih merupakan permulaan baharu buat The Blues kerana mereka mahu memburu lebih banyak trofi pada saingan musim depan.
Gelaran liga menjadi sasaran utama skuad kendalian Enzo Maresca itu selain memiliki hasrat untuk memenangi saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga selepas kali melakukannya pada 2021.
“Sebelum kejohanan (CWC) ini berlangsung, saya sudah beritahu kami mahu memenanginya dan banyak pihak meremehkan kami. Sekarang saya mahu beritahu kami akan cuba memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
“Kemenangan ini membuktikan kami semua sudah bersedia untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain. Jika kami terus memenangi gelaran, kami akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya.
Sejak berada di bawah pemilikan baharu pada 2022, Chelsea berdepan situasi tidak menentu sehingga beberapa kali dicemuh penyokong sendiri, namun pelaburan yang dibuat kini sudah menampakkan hasil.
“Kami adalah Chelsea dan merupakan satu pasukan. Kami akan meneruskan legasi yang ditinggalkan pemain-pemain terdahulu, jadi kami sedia untuk meneruskan perjuangan ini,” ujar Colwill. – AGENSI