BANGI – Brahim’s Holdings Berhad merancang untuk membuka dapur halal baharu di luar negara dalam usaha mengukuhkan perniagaan katering dalam pesawat, ketika industri penerbangan global kian pulih daripada pandemik Covid-19.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya kini dalam dalam peringkat akhir perbincangan untuk pembukaan dapur tersebut yang akan dilaksanakan secara usaha sama dengan syarikat lain.
“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, mungkin (pengumuman) sekitar Oktober tahun ini. Terlalu awal untuk saya ulas secara terperinci sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Meraikan Ulang Tahun Ke-37 Brahim’s di sini, hari ini.
Sempena sambutan tersebut, Kumpulan Brahim’s Dewina mengukuhkan lagi komitmennya kepada tanggungjawab sosial korporat dengan menyumbang RM250,000 kepada Food Aid Foundation bagi menyokong inisiatif menangani isu kelaparan serta mengukuhkan sekuriti makanan.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, operasi syarikat sudah mencapai tahap pulang modal dengan pengembalian syarikat penerbangan antarabangsa untuk khidmat katering dalam penerbangan selepas pandemik, selain kemasukan syarikat baharu.
Jelasnya, antara pelanggan utama yang masih mengekalkan kerjasama dengan syarikat termasuk Qatar Airways, Emirates, British Airways, Turkish Airlines, Japan Airlines dan All Nippon Airways.
“Terdapat dua buah syarikat penerbangan baharu yang masuk iaitu dari China dan Asia Timur.
“Dari segi operasi, kami sudah mencapai tahap pulang modal. Jadi apa-apa yang masuk selepas ini, Alhamdulillah adalah bonus. Kita juga sedang menunggu satu lagi syarikat penerbangan baharu untuk masuk.
“Pulau Pinang misalnya memang banyak penerbangan terus dari China. Itu yang menjadikan dapur katering kami di Pulau Pinang sangat aktif,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE