KUALA PILAH – Seorang bekas eksekutif sebuah syarikat jual beli kenderaan di Tampin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM28,520, dua tahun lalu.
Tertuduh, L Sharanya, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Yusna Khadijah Md Yusop.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah diamanahkan dengan harta iaitu wang milik syarikat telah dengan curangnya melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta tersebut.
Berdasarkan enam pertuduhan, tertuduh telah curang kali pertama sebanyak RM6600; kali kedua (RM3260); kali ketiga (RM5150); kali keempat (RM5860); kali kelima (RM4050) dan kali keenam (RM3600) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM28,520.
Perbuatan itu dilakukan semasa masih dalam tugas dalam tempoh kira-kira enam bulan dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023. Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan. Kes disebut semula pada 25 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE