fbpx

Banglo pesta gay diserbu di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusoff bercakap pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAM / KOSMO!

KOTA BHARU – Lebih 20 lelaki yang menyertai pertemuan kumpulan songsang di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini terkejut selepas kediaman itu diserbu polis bulan lalu.

Serbuan pada pukul 1 pagi itu dilaksanakan selepas pihak berkuasa melakukan intipan awal di banglo berkenaan yang dipercayai menjadi ‘sarang’ kumpulan tersebut berkumpul.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan pesta yang disertai sekumpulan lelaki di kediaman tersebut.

Katanya, semasa serbuan, terdapat lebih 20 lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an di dalam banglo berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mereka mengaku berminat dalam kegiatan songsang atau gay. Mereka menjadikan banglo itu sebagai tempat berkumpul untuk majlis makan malam.

“Penyertaan ke majlis itu juga secara percuma. Ada antara mereka menghebahkan maklumat pertemuan itu di media sosial,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan lanjut mendapati, lebih 100 lelaki berada di banglo itu sebelum serbuan dijalankan. Jumlah itu makin berkurangan selepas tengah malam.

Jelasnya, pemeriksaan di dalam banglo itu menjumpai ratusan kondom dan ubat virus kurang imun (HIV). Siasatan awal mendapati, tiada persetubuhan luar tabii berlaku di dalam rumah tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan ada persediaan ke arah itu berdasarkan penemuan beberapa barangan di lokasi tersebut,” ujarnya.

Kesemua individu itu ditahan untuk diambil keterangan sebelum kebanyakan mereka dilepaskan.

Bagaimanapun tiga daripada mereka ditahan atas kesalahan memiliki bahan lucah hubungan sejenis dan kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis mengambil serius kejadian itu dan akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap kumpulan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI