fbpx

Adzli pangku jawatan Ketua Polis Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL Aziz (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Fisol (dua dari kiri) dengan Adzli (dua dari kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. -Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah memangku jawatan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu susulan pertukaran Datuk Fisol Salleh sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Fisol berkhidmat sebagai Ketua Polis Kedah selama lebih dua tahun.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah acara serah terima jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daripada Datin Norli Ahmad kepada Hasnah Sagap.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, harapan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail terhadap pasukan sangat tinggi dengan memberi penekanan kepada tiga perkara utama.

“Kalau tengok daripada ucaptama Ketua Polis Negara dalam Mesyuarat Tatakelola Induk, beliau memberi penekanan kepada tiga perkara utama yang mana sebagai pengarah pengurusan, saya perlu menghayati apa dinyatakan Ketua Polis Negara.

“Antaranya isu dadah, penyeludupan sama ada dadah, manusia atau kontraban, selain isu judi dalam talian. Itulah fokus utama Ketua Polis Negara,” katanya ketika berucap pada majlis serah terima tugas tersebut.

Kata beliau, setiap anggota juga perlu sedar bahawa pangkat bukan satu anugerah tetapi tanggungjawab.

“Apa yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa upacara serah terima tugas Ketua Polis Negara sebelum ini bahawa kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab dan amanah.

“Kalau dapat saya ulangkan, Datuk Seri Saifuddin kata pangkat bukan satu anugerah tetapi amanah. Pangkat ini bukan satu perkara yang boleh dibanggakan tetapi tanggungjawab,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI