PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kesal apabila tayar dan rim motosikalnya dicuri meskipun kenderan itu diletakkan bersebelahan pondok pengawal.
Menerusi perkongsian di TikTok @jiemmy28 semalam, dia memberitahu kejadian berlaku di terminal bas dekat Gelang Patah, Johor.
Katanya, di lokasi sama terdapat sebuah lagi motosikal mengalami nasib sama apabila tayar dan rim dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Mana pergi pengawal ya? Aku punya (motosikal) betul-betul depan pondok pengawal. Yang jadi masalah sekarang sudah la nombor plat aku kena patah, satu tanggungjawab kalau orang (pihak pengurusan) tak nak tanggung. Mana pergi Majlis (kawasan) Gelang Patah?
“Mereka cakap tanggungjawab sendiri, tapi apa guna parkir motosikal ini. Aku dah parkir betul-betul dekat pondok pengawal, rim hilang tiada tanggungjawab,” luahnya.
Dalam video berasingan yang dikongsikan di TikTok, lelaki itu memaklumkan dia sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri berhubung kejadian tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mempersoalkan keberadaan pengawal bertugas ketika kejadian sehingga aksesori motosikal yang diletakkan di depan pondok pengawal dicuri.
“Pengawal makan kuaci sambil tutup mata ka? Depan pondok pun tak perasan ada orang lain sedang buat kerja haram. Memang makan gaji buta nampaknya,” kata Stafiq.
“Nampak sangat pengawal tidur, sampai dua motosikal kena ‘rembat’ tepi pondok,” perli Alias. – KOSMO! ONLINE
@jiemmy28Kejadian terminal bas gelang patah,guard atas tapi tanggungjawab sendiri?,kita cari rezeki pon orang curi,kasi up kasi majlis gelang patah amik tidakan♬ original sound – jiemmyG♠️