PETALING JAYA – Seorang bekas penguat kuasa membuat kelainan apabila menawarkan khidmat peneman khas untuk wanita yang memerlukan kawan ke hospital, membeli barangan atau teman berbual sejak dua minggu lalu.
Umi Al-Khair Fatimah Idris, 44, berkata, idea itu sudah lama difikirkan tetapi baru sekarang dia tergerak untuk melakukannya selepas melihat seorang lelaki membuat khidmat sama di media sosial.
Katanya, selain itu dia mahu berusaha menambah pendapatan keluarga untuk menyara lima anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) yang kini terlantar.
“Saya berhenti kerja sebagai penguat kuasa lapan tahun lalu untuk urus anak OKU yang kerap sakit.
“Bayaran yang dikenakan RM25 sejam dengan minimum dua jam tidak termasuk kos makan dan e-hailing ke lokasi. Tempahan hendaklah dibuat dua hari awal dan tidak lebih daripada pukul 10 malam,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Umi Al-Khair Fatimah, caj tambahan akan dikenakan untuk bantuan lain seperti tukar lampin ibu, masak atau mengemas rumah.
Tambahnya, ketika ini dia hanya mengambil tempahan di sekitar Kelana Jaya dan Petaling Jaya.
“Saya puas dan seronok dapat membantu orang. Namun ada juga pelanggan yang tidak mahu bayar kos perjalanan dan lelaki yang cuba mengambil kesempatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE