SEMENYIH – Tujuh individu berdepan detik cemas apabila sesat hampir dua jam ketika mendaki Bukit Broga, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya ditemui selamat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di puncak satu Bukit Broga.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 8.55 pagi.
Menurutnya, seramai enam anggota serta sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih digerakkan ke lokasi.
“Terdapat tujuh orang sesat ketika mendaki dan kerja-kerja mencari mangsa telah dijalankan.
“Seramai lima wanita dan dua lelaki berjaya ditemui di puncak satu pada pukul 10.50 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 20an tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kerja-kerja membawa mangsa turun sedang dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE