SILVERSTONE – Masa depan George Russell bersama Mercedes masih belum terjamin sepenuhnya, namun spekulasi semakin kuat mengatakan Aston Martin menjadi ‘pelan kedua’ buat pelumba Britain itu sekiranya Max Verstappen menggantikan tempatnya musim 2026.
Ketua Pasukan Aston Martin, Andy Cowell menjelaskan, pasukannya kini menikmati kestabilan menerusi Fernando Alonso dan Lance Stroll di mana kedua-dua pemandu itu kekal bersama pasukan hingga musim depan.
“Kami dalam fasa menarik menuju ke musim 2026 dan kami bekerjasama dengan Honda untuk enjin baharu. Adrian (Newey) pula sedang membangunkan jentera dengan spesifikasi 2026.
“Tetapi kestabilan dibawa oleh Lance dan Fernando, kedua-duanya sudah sah bersama kami. Bukan saja dari segi pembangunan alatan dan komponen, malah mereka juga terlibat dalam membentuk konsep kereta baharu,” kata Cowell.
Russell sebelum ini menyatakan peluang untuk berhijrah adalah sangat rendah tetapi masa depannya masih samar kerana tiada kontrak lanjutan melebihi musim 2025 selain desas-desus mengenai rundingan ‘berterusan’ antara Verstappen dan Mercedes.
Aston Martin akan memulakan kerjasama enjin dengan Honda bermula 2026 dan mereka kini berada dalam proses pembangunan agresif untuk menyertai kelompok teratas.
Penyertaan pakar aerodinamik Formula Satu (F1), Adrian Newey dari Red Bull dijangka mampu membawa Aston Martin selaku pencabar utama musim depan.
Selepas Alonso dan Stroll disahkan kekal, Cowell secara tidak langsung menutup ruang buat Russell yang sebelum ini dianggap calon berpotensi jika kehilangan tempat di Mercedes. – AGENSI