IPOH – Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun sehingga hamil sejak tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang payudara dan kemaluan mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik utama dan ruang tamu rumah di Taman Raia Damai, Batu Gajah pada pukul 2.30 petang, pertengahan Disember 2024 dan pukul 2.30 petang hingga 8.30 malam, Januari 2025.
Bagi dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta yang sama.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa di dalam bilik di rumah sama pada pukul 11.30 malam pada pertengahan bulan Disember 2024.- KOSMO! ONLINE