SHAH ALAM – Seorang penceramah bebas yang sebelum ini disiasat berhubung video seks, didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah hari ini atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah, tahun lalu.
Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Faridul Firdaus Zaulkapli, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan penjara Sekiranya gagal bayar, boleh dipenjara 10 hari.
Hakim Syarie Siti Rahmah dalam penghakiman menegaskan kepentingan mempunyai tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mengelakkan isu-isu penyelewengan agama.
“Kita tahu di luar sana banyak hendak menyeleweng. Sebab itu syarat kena ada tauliah dan mematuhi syarat-syarat tauliah yang telah ditetapkan itu.
“Kita bukan hendak nafikan ilmu seseorang itu, namun perlu ada tauliah. Ini bagi kesedaran demi kemasalahatan masyarakat,” katanya.
Faridul Firdaus didakwa telah mengajar perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor dalam sebuah surau di Seksyen 19 di sini antara pukul 8.15 malam hingga 8.40 malam pada 2 September tahun lalu.
Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara kan sehingga dua tahun atau kedua -duanya, sekiranya disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, penahanan tertuduh dilakukan kira-kira pukul 9.10 malam pada 2 September lalu
selepas menerima aduan tertuduh disyaki mengajar agama Islam tanpa tauliah.
Hasil pemerhatian saksi pendakwaan mendapati pada hari kejadian tertuduh berada di ruangan mihrab dan di meja penceramah serta sedang mengupas ayat daripada surah As-Sajdah.
Faridul Firdaus yang tidak diwakili peguam merayu dalam keadaan sebak supaya tidak dikenakan hukuman penjara dan denda paling minimum.
Katanya, dia menanggung dua isteri dan 10 anak yang berusia sembilan bulan hingga 14 tahun.
“Tauliah saya telah tamat pada Jun tahun lalu dan telah dua kali merayu pentauliahan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pengerusi Majlis Agama Islam sebelum ini.
“Saya menyesal dan tiada niat mencemarkan undang-undang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Siti Nor Hashibah Jamhari menegaskan tindakan tertuduh bersifat sengaja dan penuh kelicikan serta telah memanipulasi pihak surau dengan tidak memaklumkan hakikat tidak mempunyai tauliah mengajar tersebut.
Jelasnya, tindakan tertuduh ini telah membuka ruang penyelewengan akidah dan penyebaran agama tidak sahih seterusnya menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat Islam.
“Tertuduh telah melanggar undang-undang dan tindakan itu mencabar undang-undang tersebut selain kes ini juga mendapat perhatian umum,” katanya.
Terdahulu di mahkamah sama,
Faridul Firdaus turut dikenakan penalti RM1,500 kerana gagal hadir ke prosiding pada 21 Mei lalu atas kesalahan sama sehingga waran tangkap dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE