fbpx

‘Mula-mula risau, tiket dah licin baru lega’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAk menjanjikan bulan bintang, Dayang Nurfaizah hanya mahu menghiburkan peminat dalam sebuah ruang eksklusif dan lebih intim.

KETIKA ramai penyanyi papan atas berlumba-lumba berada di pentas konsert berskala besar, Dayang Nurfaizah mahu menghadiahkan peminat setianya dengan persembahan eksklusif, Janji With Dayang pada Ogos dan September depan.

Didedikasikan sebagai buah tangan istimewa buat peminat, acara yang bakal berlangsung di dua lokasi iaitu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur tersebut platform mempromosikan album baharunya, Janji.

Menurut Dayang atau nama penuhnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, acara tersebut disifatkan sangat istimewa dan mahu peminat menikmati dan membawa pulang memori indah.

“Sudah lama saya berhasrat memiliki sebuah persembahan yang lebih peribadi dan eksklusif, tapi di lokasi terbuka, bukan dalam auditorium seperti biasa.

“Akhirnya impian itu terlaksana dan lebih istimewa persembahan diadakan di dua lokasi berbeza.

“Terkejut juga saya lihat sambutan ramai, tiket pun ‘sold out’. Sehingga ke hari ini masih ramai yang berharap dapat beli tiket lagi,” katanya pada majlis sidang media di ibu negara baru-baru ini.

Ingin memberi fokus mempromosikan album Janji yang dilancarkan pada November tahun lalu, Dayang berharap pembeli tiket tidak meletakkan jangkaan acara tersebut bertaraf sebuah konsert berskala besar.

Namun, penyanyi kelahiran Sarawak itu berjanji akan memberi yang terbaik selain menegaskan tiada gimik atau kejutan bakal dihidangkan pada acara tersebut.

“Selain dari album Janji, pastinya akan ada lagu-lagu lain dan memang agak mencabar untuk membuat pilihan.

“Ramai tanya tentang persembahan duet dan penyanyi jemputan, saya boleh jamin tiada kejutan sebegitu untuk persembahan eksklusif itu nanti,” ujarnya.

Pada konsert tersebut nanti, Dayang juga memberi peluang kepada dua bakat baharu iaitu Anwar Hamzah dan Naki untuk persembahan pembuka tirai.

Baginya, platform sebegini merupakan ruang terbaik buat penyanyi muda dikenali dan mempersembahkan bakat dan karya mereka pada orang ramai.

DAYANG terharu penganjuran persembahan istimewa, Janji with Dayang anjuran Usanita dan Mask Team mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Berharga

“Ramai bakat baharu yang kita boleh ketengahkan. Sekurang-kurang saya dapat bantu mereka dengan acara ini, apatah lagi Naki juga berasal dari Sarawak.

“Penyanyi muda memang sangat perlukan platform sebegini sebab dahulu saya pernah diberi peluang buat persembahan pembuka pada konsert Sheila Majid di Stadium Merdeka.

“Sejak konsert itu, saya yang baru berusia 19 tahun mula dikenali ramai. Memang sentiasa ingat serta hargai peluang tersebut sampai bila-bila,” kata pelantun lagu Lelaki Teragung itu.

Berkongsi persiapan menjelang persembahan tersebut, Dayang kini perlu memastikan staminanya berada di tahap terbaik.

Jelasnya, senaman kini menjadi rutin wajib bahkan mengakui perlu memaksa diri untuk melakukannya.

“Saya bukan individu yang suka bersenam tetapi demi persembahan nanti, memang perlu lakukannya.

“Untuk jaga stamina, saya paksa diri joging tetapi tidaklah setiap hari sebab kekangan jadual kerja,” ujarnya.

Selain berharap kesihatan sentiasa dalam keadaan memuaskan, Dayang tidak menafikan sedikit tertekan untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang dua malam tersebut.

“Kalau cakap pasal tekanan, semua persembahan pasti akan rasa itu cuma kali ini lebih sedikit. Saya cuma mahu beri persembahan terbaik dan enggan hampakan peminat, penyokong Dayang Nurfaizah sejak dahulu.

“Ini hadiah untuk mereka dan terima kasih kepada Usanita Entertainment dan Mask Team yang banyak membantu dalam merealisasikan impian ini,” tuturnya.

Bercerita tentang keterujaan, penyanyi dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri itu tetap risau sekiranya jualan tiket tidak mendapat sambutan.

“Memang ada kerisauan takut tiket tak terjual. Tapi selepas dimaklumkan semua habis terjual, rasa lega dan terkejut.

“Walaupun berskala sederhana, harap semuanya berjalan lancar,” jelasnya yang berharap mengadakan sebuah persembahan eksklusif di Sarawak satu hati nanti.

Persembahan eksklusif Janji With Dayang akan dipentaskan di dua lokasi iaitu Top View, The Top, Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI