JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengambil tindakan segera untuk mengisi kekosongan perjawatan, membaiki fasiliti serta menaik taraf kemudahan di tiga hospital utama di Johor bagi memperkukuh infrastruktur hospital dan kebajikan petugas.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tiga agenda itu utama yang dipersetujui susulan pertemuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Putrajaya semalam.
“Pertemuan berkenaan memberi fokus kepada usaha memperkukuh pengoperasian tiga hospital utama, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai.
“Hasil perbincangan turut mencapai persetujuan supaya Hospital Pasir Gudang (HPG) dan Klinik Kesihatan (KK) Cendana perlu diperkukuh dan ditambah tenaga kerja serta peralatan sebelum dijangka mula beroperasi pada awal tahun hadapan,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Onn Hafiz berkata, pasukan petugas khas akan ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan Bangsa Johor, khususnya dalam aspek kesihatan awam.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri dan KKM sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan yang adil, cekap dan berkualiti serta menjaga kebajikan barisan hadapan yang menjadi tunjang sistem kesihatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Johor memerlukan 4,600 penjawat awam bagi mengatasi masalah kekurangan staf kesihatan di hospital-hospital utama.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, antara kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.-KOSMO! ONLINE