fbpx

Kerajaan teliti langkah tangani insiden kecurian kabel ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (kanan) ketika menghadiri satu mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

PETALING JAYA – Kerajaan sedang meneliti langkah strategik jangka pendek dan jangka panjang agar insiden kecurian kabel yang berlaku di sepanjang jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dibanteras secara menyeluruh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejadian berkenaan merupakan satu jenayah terhadap harta awam dan ancaman kepada kelancaran pembinaan projek infrastruktur negara.

“Sebentar tadi, saya telah menghadiri satu mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, bagi membincangkan isu kecurian kabel yang berlaku di sepanjang jajaran ECRL.

“Saya memandang serius perkara ini kerana kejadian kecurian seperti ini bukan sahaja merupakan satu jenayah terhadap harta awam, tetapi juga boleh menjejaskan secara langsung momentum, jadual serta kelancaran keseluruhan proses pembinaan projek mega ECRL,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan dan tuntas.

Terdahulu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyatakan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek ECRL.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer adalah projek infrastruktur terbesar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia yang dijangka meningkatkan jaringan pengangkutan dan merangsang pembangunan ekonomi di pantai timur Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI