PETALING JAYA – Kerajaan menyeru semua agensi dan pihak berkepentingan agar terus memperkukuh tekad dan usaha dalam memperbaiki ekosistem perniagaan serta meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah yang mendesak adalah pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan awam, agar lebih cekap, telus dan berintegriti.
“Susulan pencapaian Malaysia yang melonjak 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025, daripada kedudukan ke-34 ke tangga ke-23 yakni kedudukan terbaik dalam tempoh lima tahun, saya menyeru pihak terbabit terus memperkukuh tekad dan usaha memperbaiki ‘ease of doing business’ di negara ini.
“Langkah ini penting bagi menjamin kemakmuran negara, meningkatkan keyakinan pelabur, dan yang paling utama, memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi teras utama pembangunan,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara hari ini.
Dalam mesyuarat itu, pihaknya turut meneliti pelbagai cadangan pembangunan merangkumi aspek perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri, seperti termaktub di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). – KOSMO! ONLINE