MADRID – Pengurus Paris Saint-Germain, Luis Enrique didakwa telah melakukan kesalahan besar pada final Piala Dunia Kelab dan layak untuk dikenakan hukuman berat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bekas pengadil La Liga, Eduardo Iturralde Gonzalez percaya Enrique akan dijatuhkan hukuman penggantungan perlawanan yang mungkin menyaksikannya duduk di tempat penyokong pada perlawanan Piala Super Eropah menentang Tottenham Hotspur bulan depan.
“Sudah tentu dia (Enrique) boleh dikenakan hukuman. Kad merah atau kuning dalam sesuatu kejohanan akan ada tempoh luput tetapi FIFA tetap boleh menghukum Enrique.
“Kamu tidak boleh menyentuh muka pemain lawan, maksudnya ia sudah menjadi sesuatu yang memalukan apabila berlakukan insiden seperti itu. Mungkin boleh dihukum gantung sebulan, namun lebih teruk dia juga tidak boleh mengendalikan latihan pasukan.
“Saya tidak akan melihat kepada nama individu tetapi kepada tindakan yang dilakukan. Jika kita lihat pada kelakuan itu, jelas ia adalah tindakan yang boleh dihukum,” katanya.
Sebelum ini, berlaku insiden tegang sejurus tamat aksi final Piala Dunia Kelab antara PSG menentang Chelsea yang menyaksikan Enrique bertindak agresif menampar muka penyerang lawan, Joao Pedro.
Tindakan itu dibuat ketika pertelingkahan antara Pedro dengan beberapa pemain dalam aksi final di Stadium MetLife kelmarin yang berkesudahan Chelsea menang 3-0.
“Kami sepatutnya boleh elak keadaan tegang menjadi lebih buruk lagi. Apa yang berlaku sepatutnya boleh dielakkan, namun saya sedang cuba meredakan ketegangan yang berlaku,” jelas Enrique. – AGENSI