MUAR – Seorang jurulatih badminton yang merempuh kereta dinaiki tiga beranak hingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan dalam kemalangan jalan raya, Mei lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Ong Kai Wei, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, dia yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) didakwa menyebabkan kematian kepada penumpang kereta, Ayesha Sofea Anwaruddi, 2.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 144.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara pada pukul 7.35 pagi, 26 Mei lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapat lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludeen manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Nurashikin Fuaddin.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes ini selesai.
Dalam kejadian itu, Ayesha Sofea disahkan meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) akibat cedera parah.
Kereta dinaiki arwah bersama ibu bapanya dirempuh MPV dipandu tertuduh lalu hilang kawalan dan terbabas serta merempuh besi penghadang lebuh raya.-KOSMO! ONLINE