fbpx

Johari tegur Ahli Parlimen tak hadir sidang, tapi sibuk bersuara di luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tujuh dari kiri) ketika sesi bergambar pada Sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) 2025 di SEGi University, Kota Damansara di sini hari ini. KOSMO!/SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul menyentuh tentang isu terdapat segelintir wakil rakyat yang sering mengabaikan tanggungjawab untuk hadir ke sidang Parlimen Dewan Rakyat namun, lantang bersuara di luar.

Menurut beliau, golongan tersebut bukan sahaja gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat, malah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan turut mengelirukan rakyat.

“Kita lihat di Parlimen ada tiga jenis orang. Yang baik, yang buruk dan yang teruk.

“Yang baik ialah mereka yang beri segala jenis idea, yang solid dan praktikal. Yang buruk pula asyik merungut, apa sahaja yang kita kata pasti dia mahu bantah.

“Tapi yang paling teruk ialah mereka yang tidak datang ke Parlimen. Mereka selalu tiada, tetapi di luar merekalah kononnya pemimpin. Tidak pergi Parlimen tetapi buat banyak bising, keluarkan macam-macam kenyataan lucu yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Hari Pergubalan Awam Sedunia (WPRD) 2025 di Dewan Serbaguna, Universiti SEGI Kota Damansara, di sini hari ini.

Menurut Johari, selagi individu seperti itu diangkat sebagai pemimpin, negara akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dalam pada itu, Johari turut berkongsi usaha kerajaan melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah diperkenalkan semula bagi membentuk golongan muda menjadi pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.

“Kita kumpulkan pelajar umur 18 tahun ke kem selama 45 hari. 70 peratus daripada kursus adalah latihan kepimpinan. Kita ajar mereka bagaimana hendak bercakap, berfikir dan bertindak seperti pemimpin yang bertanggungjawab” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI