fbpx

Indonesia dikenakan tarif lebih rendah berbanding Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kontena kargo dirakam di Terminal Kontena Antarabangsa Jakarta di Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta pada 7 Julai lalu. - AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan semalam bahawa beliau mencapai perjanjian perdagangan dengan Indonesia untuk menetapkan tarif 19 peratus ke atas eksport negara itu ke Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita United Press International.

Kadar itu dikurangkan daripada 32 peratus yang diumumkan Trump sebelum ini.

Sebagai pertambahan, Jakarta bersetuju untuk memberikan akses bebas tarif kepada Washington di pasaran Indonesia, lapor akhbar Jakarta Globe.

“Kita (AS) tidak akan membayar sebarang tarif. Mereka akan memberi akses kepada kita untuk pasaran Indonesia yang sebelum ini tidak pernah ditembusi,” kata Trump kepada pemberita di luar White House.

Beliau kemudian menulis dalam catatan di laman Truth Social bahawa Indonesia, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, komited untuk membeli sebanyak AS$15 bilion (RM64 bilion) dalam tenaga AS.

Turut dipersetujui adalah pembelian sebanyak AS$4.5 bilion (RM19 bilion) bagi produk pertanian Amerika dan 50 pesawat Boeing dengan sebahagian besarnya jenis 777.

Trump menambah bahawa persetujuan itu adalah perjanjian langsung dengan Presiden Prabowo Subianto.

“Saya bercakap dengan presiden mereka yang sangat hebat, popular, kuat dan bijak. Kami membuat perjanjian itu,” katanya.

Kerajaan Indonesia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perjanjian terbaharu itu.

Menurut Jabatan Perdagangan AS, Indonesia adalah salah satu daripada 25 rakan dagangan terbesar negara itu, dengan nilai perdagangan lebih AS$38 bilion (RM161 bilion) tahun lepas. 

Sementara itu, Trump sebelum ini mengumumkan tarif 25 peratus ke atas negara jiran Indonesia, Malaysia bermula 1 Ogos depan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI