fbpx

Guna nama syarikat untuk ‘check-in’, kerani ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi permohonan reman pagi tadi.

PETALING JAYA – Seorang kerani syarikat pelancongan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran kad kredit syarikat berjumlah RM55,000 untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 22 Julai terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran.

Ia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira pukul 9.30 malam, semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.

“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI