NEW YORK – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melabel penganjuran Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Amerika Syarikat berlangsung dengan sempurna walaupun berdepan beberapa isu berbangkit mengenai keselamatan pemain.
Kejohanan yang menggunakan format baharu itu sering dipalit dengan keresahan tentang keselamatan pemain di mana perlawanan dilangsungkan dalam keadaan cuaca panas.
“Pertandingan kelab yang paling berjaya dan era kegemilangan bola sepak dunia di peringkat kelab sudah pun bermula,” jelas FIFA.
Begitupun, Persatuan Pemain Pemain Profesional Antarabangsa (Fifpro) melihat penganjuran itu dari sudut berbeza dengan mengkritik keputusan FIFA yang disifatkan mengejar kewangan dan langsung tidak menitikberatkan kebajikan pemain.
Tahun lalu, Fifpro sudah pun memfailkan aduan undang-undang terhadap FIFA yang didakwa menyalahgunakan peranan mereka hingga memberikan tekanan tambahan kepada penjadualan pertandingan bola sepak.
Malah Presiden Fifpro, Sergio Marchi membandingkan Presiden FIFA, Gianni Infantino dengan maharaja Rom, Neo dan mendakwa badan induk bola sepak dunia itu mengeksploitasi kesihatan pemain demi mengutamakan keuntungan.
“Apa yang dipersembahkan adalah tidak lebih daripada fiksyen yang dicipta oleh FIFA iaitu dipromosikan oleh presiden mereka tanpa adanya dialog, sensitiviti dan rasa hormat.
“Kejohanan ini diadakan dalam keadaan yang tidak boleh diterima hingga membahayakan fizikal pemain. Apa yang berlaku tidak boleh berulang lagi dalam apa juga keadaannya,” katanya. – AGENSI