MANCHESTER – Masa depan pemain sayap, Antony di Manchester United bakal terjawab minggu ini apabila kelab itu dijangka mengadakan rundingan penting bersama Real Betis berhubung perpindahan kekal pemain tersebut.
Menurut laporan, The Red Devils telah menurunkan tanda harga Antony secara drastik daripada €50 juta (RM248.14 juta) kepada sekitar €30 juta hingga €35 juta (RM148.88 juta hingga RM168.6 juta).
Penurunan nilai itu dilihat sebagai langkah terakhir United untuk melepaskan Antony yang tidak lagi berada dalam perancangan pengurus United, Ruben Amorim.
Difahamkan, Betis amat berminat untuk mendapatkan semula khidmat Antony selepas pemain itu mempamerkan aksi cemerlang ketika dipinjamkan musim lalu, menjaringkan sembilan gol dan mencipta lima bantuan dalam 26 penampilan bersama kelab La Liga itu.
Pemain berusia 25 tahun itu turut dilaporkan sedia menurunkan gaji demi menyertai Betis secara tetap kerana yakin konsisten di bawah Manuel Pellegrini serta mahu beraksi menjelang Piala Dunia 2026.
Betis merancang untuk mengemukakan cadangan pinjaman dengan pembelian tetap pada musim berikutnya, termasuk klausa penjualan semula kepada Manchester United sebagai sebahagian daripada struktur perjanjian kerana kekangan kewangan.
Antony masih belum kembali ke latihan pramusim bersama United di Carrington dan difahamkan tidak lagi mahu menyarung jersi kelab itu. – AGENSI