LONDON – Impian Benjamin Sesko untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris berdepan sulit selepas Arsenal yang paling berminat mendapatkan khidmatnya membuat keputusan memburu Viktor Gyokeres.
Menurut laporan, Arsenal sebelum ini berada di landasan terbaik untuk menandatangani Sesko dari RB Leipzig, namun enggan memenuhi tuntutan harga yang ditetapkan kelab Bundesliga itu iaitu sekitar €90 juta (RM420.35 juta).
Keengganan Arsenal untuk membayar jumlah tersebut menyebabkan rundingan terbatal, sekali gus menyebabkan ejen pemain berkenaan terdesak untuk membawanya ke England dengan menghubungi Liverpool.
Difahamkan, ejen Sesko juga telah telah menghubungi tiga lagi kelab EPL termasuk Manchester United, Newcastle United dan Chelesea bagi menawarkan khidmat pemain antarabangsa Slovenia berusia 22 tahun itu.
Sebelum ini, Sesko pernah mendedahkan dalam satu temu bual bahawa dia menolak perpindahan ke Arsenal musim lalu kerana mahu terus mengumpul pengalaman dan percaya Leipzig masih menjadi platform terbaik untuk perkembangan kariernya.
Namun, selepas setahun, pemain muda itu dilaporkan sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam karier profesionalnya, walaupun tidak terlalu terdesak untuk meninggalkan kelab Jerman itu.
Jika Sesko akhirnya berpindah ke saingan EPL bersama pasukan selain Arsenal, ia pasti menjadi tamparan buat Mikel Arteta yang sebelum ini amat berminat mendapatkan khidmat penyerang muda tersebut. – AGENSI